
Persaingan untuk mendapatkan tempat di pusat-pusat pengajian tinggi semakin hebat. Ini adalah kerana pelajar-pelajar berkelulusan SPM dan STPM semakin ramai setiap tahun.
Selain dari kelululusan akademik, untuk menjadi calon yang dipilih, pelajar juga akan dinilai dari beberapa sudut lain seperti kegiatan ko-kurikulum, penglibatan dalam pelbagai aktiviti, persediaan menghadapi temuduga, disiplin dan kegiatan-kegiatan serta perkara-perkara lain yang dapat memberi kesan dan pengaruh terhadap pemilihan mereka.
Temuduga merupakan satu peluang yang sepatutnya dirancang dan diambil berat oleh setiap pelajar. Tujuan utama temuduga adalah untuk menentukan dan memilih calon yang paling sesuai. Temuduga ialah komunikasi dua hala. Ia bukan hanya satu tugas bagi pada penemuduga untuk menentukan kesesuaian calon, tetapi juga para calon harus berusaha agar mereka didapati sesuai dan seterusnya dipilih.
Temuduga boleh dikendalikan oleh seorang penemuduga ataupun oleh beberapa orang, yang dipanggil ‘panel’ temuduga. Biasanya terdapat 3 atau 5 orang dalam sesuatu panel temuduga, bergantung pada kehendak pihak yang menganjurkannya. Bagaimana ia dikendalikan, itu tidak penting. Apa yang harus diberi peringatan ialah cara anda berkelakuan, kerana itu yang akan menentukan peluang untuk anda berjaya di dalam temuduga tersebut. Anda perlu meyakinkan si penemuduga bahawa anda layak dipilih dan mempunyai segala ciri-ciri yang dikehendaki.
Berasaskan kepada laporan ahli-ahli panel temuduga yang telah menemuduga pelajar-pelajar MRSM, perkara-perkara berikut telah didapati:
- Pelajar-pelajar lemah dalam membuat ‘arguement’.
- Bersikap pasif semasa temuduga.
- Tidak boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik.
- Tidak boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dengan baik.
- Tidak tahu menahu mengenai kursus yang hendak diambil.
- Belum / tidak tahu membuat pilihan kerjaya yang akan diambil.
- Tidak tahu menahu mengenai kursus-kursus yang ditawarkan oleh universiti-universiti tempatan dan luar negeri.
- Kurang pengetahuan am.
- Berpakaian tidak kemas.
Adalah menjadi tanggungjawab anda agar kelemahan-kelemahan seperti di atas dapat diatasi. Selain dari berusaha bersendirian untuk mendapat keterangan / memperbaiki perkara-perkara berkenaan, anda juga boleh berhubung dengan Kaunselor, guru-guru dan mungkin ibu bapa dan kawan-kawan bagi mendapat pertolongan yang sewajarnya.
0 comments:
Post a Comment