Anda Pengunjung Ke

Saturday, April 23, 2011

Penstrukturan Semula Sekolah Vokasional Tampung Keperluan Tenaga Mahir, Terlatih


Secara umum masih ramai antara kita mengukur pencapaian akademik sebagai kemampuan individu menguasai bidang kepakaran profesional seperti kedoktoran, kejuruteraan, undang-undang, perakaunan dan teknologi tinggi.

Ini berlaku kerana sistem pendidikan negara sejak dari dulu lagi terlalu menekankan pencapaian akademik, bukannya meningkatkan potensi dan nilai individu seperti diperdebatkan sejak akhir-akhir ini.

Sehubungan itu, tidak hairanlah, seni pertukangan tangan, kemahiran atau vokasional sering disalah anggap sebagai bidang yang menjadi pilihan terakhir atau ‘second chance’ dalam meneruskan pengajian. Sejak dulu lagi, bidang vokasional dan kemahiran tidak pernah diletakkan dalam kelompok bidang pengkhususan elit, jauh sekali menjanjikan masa depan cerah baik dari aspek ekonomi atau status sosial.
Jika dibesarkan dalam era 1970-an dan 1980-an, misalnya persepsi yang diberi terhadap sekolah vokasional cukup membuatkan seseorang berfikir dua kali untuk menghantar borang permohonan ke institusi terbabit. Sekolah vokasional dulu dianggap institusi pendidikan ‘terakhir’ bagi individu yang dikatakan sudah tidak punya harapan atau mereka yang tidak mampu menguasai akademik pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seterusnya.

Pada era itu, berdasarkan pengalaman dilalui penulis, penekanan terhadap bidang kemahiran masih terlalu sedikit kerana masing-masing, baik sekolah, guru atau ibu bapa berlumba-lumba mengejar pencapaian akademik yang hasilnya mahu dilihat pada keputusan peperiksaan umum seperti SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Situasi ini sama sekali berbeza berbanding di Barat kerana kemahiran teknikal seperti kerja pertukangan dan membaiki perkakasan elektrik, umpamanya dianggap profesion terpuji dengan pengiktirafan sewajarnya diberi terhadap individu yang memiliki kebolehan itu. Tukang paip atau tukang kayu, misalnya mampu beroleh pendapatan lumayan kerana mereka dianggap golongan profesional dan memiliki kepakaran yang jarang atau tidak dimiliki orang lain.

Sehubungan itu, apabila kerajaan baru-baru ini mengumumkan akan menstruktur semula Sekolah Menengah Vokasional (SMV) menggunakan konsep ‘Vokasional Teknikal’ atau ‘Voctech’ dengan sasaran melonjakkan bidang kemahiran teknikal sebagai aliran pendidikan arus perdana negara - perkembangan ini meletakkan status baru terhadap bidang kemahiran teknikal atau vokasional yang diperakui cukup relevan dalam konteks keperluan tenaga kerja sekarang.

Apa yang dirancang sebenarnya satu misi besar. Sasaran yang sudah dikenal pasti ialah Kementerian Pelajaran akan meningkatkan pengambilan pelajar pendidikan teknik dan vokasional kepada 20 peratus menjelang 2015, berbanding 10 peratus sekarang. Turut dirancang, kementerian dilaporkan menambah tiga lagi SMV dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) dan RMKe-10. Cadangan ini boleh dianggap suatu proses transformasi besar yang dilakukan kementerian dalam usaha menyediakan bekalan tenaga kerja terlatih menjelang 2020.

Bersifat serampang dua mata, langkah kerajaan meningkatkan penyertaan pelajar mengikuti pendidikan ‘Voctech’ juga menjadi antara usaha menyalur pelajar lelaki yang gagal melanjutkan pengajian di universiti awam ke bidang diminati. Kerajaan dilaporkan berusaha meningkatkan prestasi pelajar lelaki yang didapati gagal memberi tumpuan pada pelajaran, selain dipengaruhi faktor persekitaran.

Usaha membawa bidang pendidikan vokasional dan teknikal ke dalam aliran pendidikan arus perdana negara memenuhi agenda lawatan lima hari Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Sydney dan Melbourne, berakhir Isnin lalu.

Pada lawatan itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran meninjau prospek dan strategik terbaik dalam melakukan transformasi bidang pendidikan vokasional dan teknikal yang diletakkan dalam status kritikal sekarang. Lawatan lebih dua jam Timbalan Perdana Menteri ke institusi pendidikan teknikal dan vokasional, TAFE NSW, Northern Sydney Institue di kampus Ultimo, Maru Ann St di Sydney, Khamis lalu, ternyata memperkukuhkan idea untuk melakukan perubahan besar dalam sistem pendidikan vokasional dan teknikal negara.

TAFE College yang diasaskan lebih 100 tahun lalu, dianggap institusi terulung dalam bidang vokasional dan latihan di Australia. Institusi ini yang bekerjasama rapat dengan sektor swasta dan industri, menawarkan lebih 800 jenis kursus dalam bidang vokasional dan teknikal.

“Lawatan ini penting kerana kita pada peringkat transformasi membangunkan bidang vokasional. Kita masih pada tahap agak rendah peratusannya yang mana hanya ada 10 peratus pelajar kita berada dalam sistem pengajian vokasional.

“Ini pastinya tidak dapat menampung keperluan tenaga mahir dan terlatih. Sebagai rancangan masa depan, kita perlu lebih banyak (bekalan) modal insan terlatih dalam bidang vokasional dan teknikal,” kata Muhyiddin merumuskan hasil lawatannya ke Australia itu.

Mengakui proses transformasi dalam bidang pendidikan vokasional dan teknikal yang disasarkan memerlukan kerjasama mantap semua pihak lebih-lebih lagi tempoh ditetapkan agak singkat, Muhyiddin berkata, langkah yang diambil agak besar terutama dalam menyediakan tenaga pengajar, kemudahan infrastruktur dan kurikulum dinamik yang menepati kehendak pasaran.

“Inilah yang kita cuba lakukan...Di Australia, bidang pendidikan vokasional sudah lama dimulakan sehingga bukan lagi (ditawarkan) di peringkat sijil, malah ijazah,” katanya yang mahu rundingan selanjutnya dilakukan segera bersama pengurusan TAFE College NSW bagi mengenal pasti model pendidikan yang boleh diaplikasikan dalam membangunkan sektor pendidikan vokasional dan teknikal di Malaysia.

Mengulas isu persepsi umum terhadap aliran pendidikan vokasional dan teknikal, Muhyiddin berkata:

“Jika kita lihat di Australia, bidang vokasional dipandang tinggi kerana selari dengan keperluan negara. Lebih pakar dan lebih mahir, lebih tinggi pendapatannya. Di Malaysia, mungkin (faktor) sejarah, dulu jika pelajar tidak begitu berminat dalam akademik dan tidak dapat kuasai secara baik, mereka (dianggap) gagal. Jadi, bidang vokasional dijadikan tawaran kedua.

“Jadi, ada persepsi (bidang) vokasional lebih rendah daripada bidang akademik lain… ini perlu diperbetulkan,” katanya.

Muhyiddin berkata, memiliki kemahiran dalam bidang vokasional membolehkan individu menikmati pendapatan lebih tinggi daripada lulusan SPM dalam konteks pasaran kerjaya sekarang.

“Bidang ini (vokasional dan teknikal) diperlukan dalam pasaran, sedangkan kita belum dapat membekalkan tenaga mahir dalam bidang ini. Jadi, tanggapan bahawa vokasional adalah bidang kedua selepas kita gagal perlu diperbetulkan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, inisiatif melakukan transformasi dalam sektor pendidikan vokasional dan teknikal tidak semestinya terletak di bahu kerajaan semata-mata, sebaliknya kerjasama bersama sektor industri dan swasta amat penting.

“Kita mengalu-alukan lebih banyak sektor swasta membuka pusat pengajian atau kolej yang menawarkan kursus kemahiran.

“Sebenarnya, ini satu peluang perniagaan kepada sektor swasta yang berminat membuka kolej dan menyediakan kursus dirangka mengikut keperluan industri,” katanya yang menunggu laporan lengkap kementerian mengenai bidang pendidikan vokasional dan teknikal yang akan dibentang Bahagian Teknikal dan Vokasional kementerian bagi menyusun strategi baru ke arah proses transformasi yang disasarkan.

Muhyiddin berkata, situasi dihadapi negara sekarang dianggap kritikal kerana amat penting bagi Malaysia memiliki bekalan tenaga mahir dan mencukupi lebih-lebih lagi ketika semua pihak bergerak mencapai agenda model ekonomi baru serta Pelan Transformasi Negara (GTP) dalam bidang keberhasilan utama.

“Situasi dihadapi sekarang agak kritikal malah kita terpaksa mengambil orang luar untuk menjadi ‘plasterer’ (penampal simen),” katanya.

Langkah kerajaan membawa pendidikan vokasional dan teknikal ke tahap lebih tinggi harus disokong semua pihak. Ketika dunia berkehendakkan manusia memiliki keupayaan yang pelbagai atau kemahiran serentak, inisiatif diambil kerajaan ini kena pada masanya. Selain menjadikan kemahiran sebagai peluang kerjaya utama, langkah ini juga pastinya membolehkan kemahiran pertukangan atau teknikal yang lain terus dikuasai anak tempatan.

Mungkin atas inisiatif ini, kemahiran pembina sampan tradisional atau bot moden boleh diwarisi generasi muda supaya ia tidak hilang ditelan zaman. Namun, realitinya, apresiasi umum terhadap kelompok kumpulan berkemahiran teknikal juga perlu dipertingkatkan kerana tidak semua antara kita mampu menguasai ilmu yang sama.

Sumber : Berita Harian - 14 Oktober 2011 oleh Shamsul Azree Shamshir

0 comments:

Post a Comment