Anda Pengunjung Ke

Wednesday, March 30, 2011

Akhirnya Kini Pasti!


Salam Ceria. Berikut merupakan kedudukan rasmi sekolah-sekolah di bahagian Betong berdasarkan keputusan SPM 2010 seperti yang disahkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak :

  1. Sek. Men. Vokasional Betong
  2. Sek. Men. Kebangsaan Agama Sri Aman
  3. Sek. Men. Kebangsaan Saratok
  4. Sek. Men. Kebangsaan Datuk Patinggi Kedit
  5. Sek. Men. Kebangsaan Kalaka
  6. Sek. Men. Kebangsaan Ulu Layar
  7. Sek. Men. Kebangsaan St. Augustine
  8. Sek. Men. Kebangsaan (BM) Saratok
  9. Sek. Men. Kebangsaan Pusa
  10. Sek. Men. Kebangsaan Spaoh
  11. Sek. Men. Kebangsaan Kabong
  12. Sek. Men. Kebangsaan Saribas

Sunday, March 27, 2011

Percubaan Pertama!

Syukur... Akhirnya saya berjaya menemui satu kaedah terbaik untuk memasukkan presentation ke dalam blog ini. Kaedah yang saya rasa lebih menarik perhatian. Melalui kaedah cuba jaya, saya akhirnya berjaya. Bak kata pepatah, "Di Mana Ada Kemahuan, Di Situ Ada Jalan". Banyak permintaan daripada mereka yang berada di luar untuk melihat dengan lebih dekat VOKBET. Justeru, di sini saya uploadkan Panorama VOKBET dalam usaha anda mengimbau kembali memori zaman bekerja atau zaman persekolahan di sini. Tidak kurang juga yang baru nak mengenali VOKBET dengan lebih dekat lagi. Justeru, bagi anda yang telah melawat ke post ini, boleh juga kongsikan dengan rakan-rakan lain melalui laman sosial popular masa kini, Facebook dan juga Twitter. Untuk deskripsi gambar pula, hanya bawa kursor anda kepada gambar. Sebarang review, star rating adalah sangat dialu-alukan. Selamat melayari.

Saturday, March 26, 2011

Motivasi Pecutan Awal 2011

Belum reda lagi isu Sekolah Menengah Vokasional Betong disenarai antara 11 sekolah luar bandar berprestasi baik ekoran keputusan SPM 2010, Unit Bimbingan dan Kaunseling menyahut cabaran, menggalas tugas dalam usahasama untuk memastikan calon SPM 2011 mengulangi kejayaan yang sama. Menyedari hakikat bahawa motivasi merupakan elemen penting dalam kejayaan seseorang individu, UBK menganjurkan Motivasi Pecutan Awal bermula semalam sehingga hari ini. Antara perkara yang ingin digarap adalah supaya mereka mampu mengulang kembali kegemilangan SPM 2010. Pada masa yang sama, pelajar Tingkatan 5 ini turut diberi input berhubung beberapa Kemahiran Belajar yang boleh diaplikasikan. Dengan kesempatan yang sama, pelajar turut diberi pendedahan awal tentang peluang-peluang melanjutkan pelajaran daripada IPT jemputan seperti Politeknik, Institut Latihan Perindustrian, Akademi Binaan Malaysia dan juga AWISAR yang merupakan sebahagian daripada Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak. Adalah menjadi harapan bahawa dengan pendedahan seumpama ini, calon SPM 2011 VOKBET dapat melihat dengan lebih jelas arah tuju mereka selepas SPM di samping cuba untuk menyuntik motivasi intrinsik dan ekstrinsik mereka untuk lebih berjaya jika dibandingkan dengan abang-abang dan kakak-kakak mereka pada tahun lepas.

Thursday, March 24, 2011

Tahniah, Kita Telah Buktikannya...

Kita bukan seperti yang mereka kata! Akhirnya keputusan SPM 2010 mampu membuka mata semua. Semalam gembira dengan khabar berita peningkatan GPS, hari ini semua dikejutkan lagi apabila akhbar Utusan Borneo melaporkan bahawa Sekolah Menengah Vokasional Betong adalah di antara 11 sekolah luar bandar berprestasi baik. Nampaknya tidak sia-sia segala usaha yang dicurahkan selama ini. Satu lagi rekod dicipta dalam kapsul masa sejarah VOKBET. Apapun, jangan mudah merasa selesa. Kita harus berusaha lebih gigih lagi dalam usaha memberikan yang lebih baik untuk SPM 2011. Semoga dengan kejayaan ini, kita mampu membuka mata semua pihak bahawa sekolah aliran vokasional dan kemahiran mampu memberikan anjakan dalam segala aspek kepada diri pelajar sama ada dalam aspek akademik, sahsiah dan juga hala tuju mereka.

Wednesday, March 23, 2011

Kesibukan Bukan Halangan Leo Ambau Cipta Kejayaan




Kesibukan menjalankan tugas sebagai Yang Di Pertua Exco Majlis Perwakilan Pelajar ternyata bukan batasan bagi Leo Anak Ambau mendapat keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2011. Mendapat 6A, ternyata ia membuatkan anak kelahiran Sibu ini mampu menarik nafas lega apabila penat lelah selama dua tahun menuntut ilmu di Sekolah Menengah Vokasional Betong terbayar sekaligus membuktikan bahawa memilih pendidikan vokasional bukan satu kesilapan. Menuntut dalam Jurusan Katering, Leo katanya memilih untuk melanjutkan pelajaran menerusi Kursus Perguruan Lepasan SPM atau KPLSPM demi meneruskan cita-citanya untuk menjadi seorang pendidik. Turut mendapat 6A dalam SPM 2010 adalah Olymena Ngali - Jurusan Pengurusan Perniagaan (gambar kedua) manakala adik Jeremy Demin dari Jurusan Amalan Bengkel Mesin mendapat 5A (gambar ketiga). Pihak Unit Bimbingan dan Kaunseling ingin mengucapkan tahniah dan syabas buat seluruh warga VOKBET atas usaha yang telah dicurahkan untuk mencapai kejayaan yang cemerlang ini. VOKBET Boleh!

Tuesday, March 22, 2011

Selamat Menuai Hasil Tanaman!

"Akhirnya kini pasti". Itulah bait-bait lirik lagu popular Diva Popular pengacara rancangan Astana, Anita Sarawak. Setelah sekian lama menanti, akhirnya keputusan SPM 2010 akan diumumkan esok. Sering juga saya didatangi sms daripada bekas anak didik bertanyakan bilakah keputusan SPM diumumkan. Tetapi saya hanya mampu memberi jawapan standard "entah, tak tahu, no comment". Apa lagi jawapan yang mampu diberikan kerana sememangnya semua orang di sekolah tidak tahu menahu tentang tarikh keramat itu. Saya pasti malam ini, dada semua orang berdegup kencang. Tidur tak lena, mandi tak basah, makan pun tak kenyang. Baik insan bergelar guru, ibu bapa mahupun calon itu sendiri. Apapun, semua pihak telahpun melakukan yang terbaik untuk diri mereka. Bagaimana benih yang kita tanam, sebegitulah pokok yang akan tumbuh. Apapun keputusan yang bakal tertera di slip esok, itu bukan akhir jalannya. Tetapi ia adalah titik tolak dalam langkah pertama mencatur masa depan. Ke mana hala tuju anda, itu semua terpulang kepada anda. Kami di sini hanya mampu mendoakan yang terbaik untuk anda. Kepada anak didik, tatkala anda berjaya jangan sesekali pernah lupakah siapakah yang pernah berdiri megah setia mencurah tatkala anda kalah. Siapa yang tidak putus asa, mencurah ilmu dan kasih sayangnya bilamana anda tandus idea dan kasihnya. Diharapkan agar blog ini mampu memudahcara menjadi penghubung kepada anda sama ada dari aspek melanjutkan pelajaran mahupun aspek bantuan kewangan.

Kempen Perangi Dadah 2011

Kempen Perangi Dadah diteruskan lagi untuk tahun 2011. Pada tahun ini juga, Unit Bimbingan dan Kaunseling sekali lagi mendapat kerjasama daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan Cawangan Negeri Sarawak, Persatuan Guru Bimbingan dan Kaunseling Sarawak - Zon Betong dan juga pihak Hospital Betong. Menyedari bahawa Dadah merupakan Musuh No. 1 negara, pihak Unit Bimbingan dan Kaunseling merasakan bahawa langkah proaktif perlu diambil untuk membanteras kebejatan sosial ini. Mungkin bukan terhadap najis dadah secara langsung, tetapi keluarga dadah itu sendiri yang terdiri daripada rokok dan sebagainya. Justeru, pelbagai program telah, sedang dan akan dijalankan sebagai aktiviti sokongan dalam memastikan KPD VOKBET 2011 mencapai objektifnya. Antaranya adalah :

  1. Ops Rokok - 26 Februari 2011
  2. Majlis Pelancaran - 9 March 2011
  3. Pertandingan Teka Silang Kata / Word Search - 2 March 2011
  4. Pertandingan Rekabentuk Poster - 7 March 2011
  5. Pertandingan Deklamasi Sajak - 22 & 23 March 2011
  6. Sukaneka Inter Block - 30 March 2011
  7. Program SHIELDS - 13 April 2011
  8. Majlis Penangguhan Rasmi - 20 April 2011

Bengkel Pengurusan Kelab & Persatuan


Antara hala tuju pendidikan di Malaysia adalah untuk melahirkan insan yang seimbang dari segenap aspek. Itulah titik tolak kewujudan aktiviti ko-kurikulum. Namun, apa yang menyedihkan adalah pelaksanaan aktiviti ko-kurikulum ini terlalu berorientasikan guru. Dah lah guru sibuk merencana, guru turut terbeban oleh perkara-perkara sampingan seperti melengkapkan borang-borang kehadiran dan menyediakan laporan aktiviti. Pelajar pula, bila agaknya nak belajar ilmu pengurusan ini? Inilah sebab utama Bengkel Pengurusan Kelab dan Persatuan ini dijalankan. Dengan niat bahawa selepas menghadiri bengkel selama dua hari bermula 14 Februari dan 16 Februari ini, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Unit Beruniform, Kelab & Persatuan dan Sukan & Permainan VOKBET mampu bergerak dengan lebih proaktif. Bengkel yang disertai oleh Pengerusi, Naib Pengerusi, Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat ini berusaha untuk memberi input berhubung pengurusan organisasi ( Borang Kehadiran, Laporan & Pengurusan Fail ), aspek penulisan Minit Mesyuarat, Pengurusan Kewangan dan juga penyediaan Kertas Cadangan serta Minit Mesyuarat. Apapun, semoga ia berjaya mencapai misinya dalam usaha memperkasakan aktiviti ko-kurikulum sekolah.

Program Orientasi Semula Ting. 5 - POST 5


Bulan Januari merupakan bulan yang agak sibuk dalam kalendar Unit Bimbingan dan Kaunseling. Apa tidaknya, bermulanya dengan Pendaftaran Pelajar Tingkatan 4, diikuti dengan Minggu Jalinan Mesra pula. Namun, ia bukan halangan untuk terus proaktif dalam memanusiakan manusia yang bergelar pelajar. Program Orientasi Semula Tingkatan Lima atau lebih sinonim dengan panggilan POST - 5 dalam kalangan warga VOKBET telah diadakan pada 25 dan 26 Januari 2011. Aktiviti tahunan untuk pelajar Tingkatan 5 ini merupakan salah satu aktiviti yang akan menemukan Jawatankuasa Pengurusan (JPS) sekolah yang terdiri daripada Pengetua, Penolong Kanan Pentadbiran, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Penolong Kanan Ko-Kurikulum dan juga Kaunselor dengan calon SPM 2011. Antara objektif yang cuba dicapai adalah :

  1. Menstrukturkan semula minda pelajar-pelajar Tingkatan 5 agar lebih bersedia dengan proses pengajaran dan pembelajaran.
  2. Menyuntik semangat dalam kalangan pelajar dalam usaha untuk memperkembangkan potensi pelajar sepenuhnya dalam pencapaian kurikulum dan ko-kurikulum.
  3. Memberi input berhubung penambahbaikan sistem disiplin yang baru diperkenalkan untuk tahun 2011.
  4. Memberi input mengenai setiap bidang iaitu dari aspek Akademik & Pentadbiran, Hal Ehwal Murid dan juga Ko-Kurikulum.

Kursus Pertolongan Cemas & Ceramah Keselamatan

Nadi utama Pendidikan Vokasional dan Kemahiran adalah pendidikan yang berbentuk kemahiran. Hal ini demikian kerana inilah perkara utama yang memberikan perbezaan dominan di antara Sekolah Menengah Vokasional dan Sekolah Menengah Akademik. Justeru, ia meletakkan 20 masa pengajaran dan pembelajaran untuk subjek-subjek bengkel dalam usaha membekalkan para pelajar dengan ilmu ini. Meluangkan masa yang agak banyak di bengkel meletakkan pelajar dengan beberapa risiko memandangkan komponen pengajaran dan pembelajaran memerlukan mereka mengendalikan alatan tangan dan mesin. Justeru, kandungan proses pengajaran dan pembelajaran mereka sendiri menjadikan aspek keselamatan sebagai sebahagian daripada input yang perlu didedahkan kepada para pelajar ini. Atas kesedaran ini, Unit Bimbingan dan Kaunseling bersama-sama dengan Jawatankuasa Keselamatan Sekolah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Kursus Pertolongan Cemas. Kursus yang dikendalikan pada 13 Januari 2011 oleh pihak Hospital Betong dan Balai Bomba dan Penyelamat Betong ini melibatkan semua pelajar Tingkatan Empat memandangkan ia merupakan sebahagian daripada sukatan pelajaran mereka.

Minggu Jalinan Mesra

9 Januari 2011 membuka lembaran program anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah Vokasional Betong. Apa tidaknya, selepas berhempas pulas dengan program promosi a.k.a program Inreach dan Outreach, akhirnya VOKBET didatangi lagi generasi seterusnya yang menjadikan Pendidikan Vokasional dan Kemahiran sebagai pilihan mereka. Justeru, UBK menggarap semula Minggu Jalinan Mesra atau lebih sinonim sebagai Minggu Orientasi di sekolah-sekolah lain. Bertemakan "Hadirmu Disalami, Datangmu Dirai" program ini dijalankan selama seminggu dan melabuhkan tirainya pada 13 Januari 2011. Pelbagai program telah dirangka dalam usaha menggapai objektif program yang tersendiri. Antara objektif utamanya adalah untuk mendidik dan mendedahkan pelajar baru dengan persekitaran, suasana dan pengalaman baru dalam menyediakan diri untuk berjuang dalam pendidikan Vokasional dan Kemahiran. Tahniah kepada semua Ahli Jawatankuasa Minggu Jalinan Mesra VOKBET 2011 termasuklah tenaga fasilitator. Antara pengisian sepanjang MJM adalah :

  1. Ice Breaking
  2. Kuliah Subuh & Kuliah Moral
  3. Slot Bersama JK Pengurusan Sekolah
  4. VOKBET VOGUE
  5. Tayangan Perdana
  6. Guruku Sayang
  7. Taklimat Biasiswa
  8. Taklimat Pusat Sumber
  9. Remaja Bunga Bangsaku
  10. Malam Kemuncak Simfoni Kasih

Sunday, March 20, 2011

Tatacara Menghadapi Temuduga


Persaingan untuk mendapatkan tempat di pusat-pusat pengajian tinggi semakin hebat. Ini adalah kerana pelajar-pelajar berkelulusan SPM dan STPM semakin ramai setiap tahun.

Selain dari kelululusan akademik, untuk menjadi calon yang dipilih, pelajar juga akan dinilai dari beberapa sudut lain seperti kegiatan ko-kurikulum, penglibatan dalam pelbagai aktiviti, persediaan menghadapi temuduga, disiplin dan kegiatan-kegiatan serta perkara-perkara lain yang dapat memberi kesan dan pengaruh terhadap pemilihan mereka.

Temuduga merupakan satu peluang yang sepatutnya dirancang dan diambil berat oleh setiap pelajar. Tujuan utama temuduga adalah untuk menentukan dan memilih calon yang paling sesuai. Temuduga ialah komunikasi dua hala. Ia bukan hanya satu tugas bagi pada penemuduga untuk menentukan kesesuaian calon, tetapi juga para calon harus berusaha agar mereka didapati sesuai dan seterusnya dipilih.

Temuduga boleh dikendalikan oleh seorang penemuduga ataupun oleh beberapa orang, yang dipanggil ‘panel’ temuduga. Biasanya terdapat 3 atau 5 orang dalam sesuatu panel temuduga, bergantung pada kehendak pihak yang menganjurkannya. Bagaimana ia dikendalikan, itu tidak penting. Apa yang harus diberi peringatan ialah cara anda berkelakuan, kerana itu yang akan menentukan peluang untuk anda berjaya di dalam temuduga tersebut. Anda perlu meyakinkan si penemuduga bahawa anda layak dipilih dan mempunyai segala ciri-ciri yang dikehendaki.

Berasaskan kepada laporan ahli-ahli panel temuduga yang telah menemuduga pelajar-pelajar MRSM, perkara-perkara berikut telah didapati:

  1. Pelajar-pelajar lemah dalam membuat ‘arguement’.
  2. Bersikap pasif semasa temuduga.
  3. Tidak boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik.
  4. Tidak boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dengan baik.
  5. Tidak tahu menahu mengenai kursus yang hendak diambil.
  6. Belum / tidak tahu membuat pilihan kerjaya yang akan diambil.
  7. Tidak tahu menahu mengenai kursus-kursus yang ditawarkan oleh universiti-universiti tempatan dan luar negeri.
  8. Kurang pengetahuan am.
  9. Berpakaian tidak kemas.

Adalah menjadi tanggungjawab anda agar kelemahan-kelemahan seperti di atas dapat diatasi. Selain dari berusaha bersendirian untuk mendapat keterangan / memperbaiki perkara-perkara berkenaan, anda juga boleh berhubung dengan Kaunselor, guru-guru dan mungkin ibu bapa dan kawan-kawan bagi mendapat pertolongan yang sewajarnya.

Selamat Pengantin Baru Cikgu Muhirman & Cikgu Rosnani


Tanggal 14 Mac 2011, satu lagi peristiwa bersejarah terakam dalam lipatan kapsul masa Unit Bimbingan dan Kaunseling VOKBET. Apa tidaknya, unit yang diterajui oleh dua teruna idaman dara bertambah meriah. Hampir 3 tahun menempuh dunia kerjaya penuh pancaroba, akhirnya Kaunselor Muda, Cikgu Muhirman selamat diijabkabulkan dengan gadis pilihan hati Cikgu Rosnani. Sama cantik, sama padan dengan busana merah putih menyerlahkan lagi seri kedua-dua mempelai ini. Apapun, UBK dengan warga kerjanya ingin mengucapkan Selamat Pengantin Baru buat kedua-duanya. Jejaka yang sorang, bila lagi nak makan nasi minyak? Untuk Cikgu Muhirman & Cikgu Rosnani, tiada hadiah yang lebih berharga dapat kami berikan melainkan ratiban doa dan pantun.

Ikan di laut asam di darat
Di dalam kuali bertemu jua
Hati terpaut janji diikat
Atas pelamin bertemu jua

Tunduk segala rakyat jelata
Memberi takzim raja gahari
Raja rupawan di atas takhta
Duduk memerintah barang sehari

Ayam dara dibuat gulai
Bungkus bekalan letak di bucu
Riang gembira kedua mempelai
Semoga berkekalan ke anak cucu

Ikan todak si ikan pari
Ikan linang di dalam peti
Adapun adat bersuami isteri
Senang dan susah sampai ke mati

Ciri-Ciri Pelajar Cemerlang - 3


Kita hanya merancang, Tuhan yang menentukannya. Inilah yang sering menjadi pegangan kita. Namun, dalam kita berusaha mengejar erti sebuah kejayaan, semua elemen ini harus seimbang kerana Tuhan tidak akan mengubah nasih sesuatu kaum itu melainkan mereka sendiri yang mengubahnya. Justeru, di sini saya kongsikan lagi beberapa Ciri-Ciri Pelajar Cemerlang.

  1. Membeli buku-buku rujukan yang sesuai.
  2. Mengikuti kelas-kelas tuisyen untuk menambahkan lagi pengalaman dan kecekapan.
  3. Mengadakan lawatan ke pameran-pameran buku.
  4. Menyertai pelbagai aktiviti sekolah secara aktif dalam ko-kurikulum. Badan yang cergas akan menghasilkan otak yang sihat.
  5. Pelajar perlu sanggup menghadapi cabaran-cabaran luaran seperti hiburan, aktiviti sukan berlebihan, melepak dan sebagainya.
  6. Menjaga keselamatan diri dari perkara-perkara yang membahayakan.
  7. Menjaga kesihatan tubuh badan dengan cara pemakanan yang sihat.
  8. Jangan segan menimba pengalaman daripada pelajar-pelajar yang telah berjaya.
  9. Jangan lupa untuk menunaikan ibadah solat.
  10. Sentiasa berdoa dan meminta petunjuk daripada Tuhan dan seterusnya bertawakal.

Saturday, March 19, 2011

Imbasan 2010





Tahun 2010 menyaksikan Unit Bimbingan dan Kaunseling menggalas cabaran yang lebih besar. Di samping menjalankan tugas-tugas rutin, perhatian turut harus diberikan kepada tahap kondusif Unit Bimbingan dan Kaunseling. Hal ini rentetan daripada penarafan selaku salah sebuah bilik yang boleh dijadikan sebagai penanda aras oleh pihak Nazir semasa lawatan pemantauan ke Sekolah Menengah Vokasional Betong. Cabaran yang lebih besar adalah apabila dua orang personalia harus bijak untuk membahagikan dan mencatur komitmen antara tugasan utama dengan tugasan berdasarkan keperluan yakni mengikut arahan dari semasa ke semasa. Hal ini demikian kerana selaku salah seorang warga pendidik VOKBET, sumbangan yang boleh diberikan adalah pelbagai dan tidak tertakluk melalui bidang kaunseling sahaja.

Justeru, Unit Bimbingan dan Kaunseling dengan tenaga kerja seramai dua orang Guru Kaunseling terus memartabatkan 8 cakupan bidang tugas yang menjadi tugas utamanya. Pelbagai aktiviti telah dirancang dan dijalankan. Ini tidak termasuk beberapa program ‘ad-hoc’ yang direncanakan berdasarkan permintaan dan keperluan sesetengah pihak. Secara keseluruhannya, terdapat peningkatan dalam perkhidmatan sepanjang tahun 2010 namun masih ada banyak ruang yang boleh diperbaiki dalam usaha menjana modal insan kelas pertama dalam bidang Teknikal, Vokasional dan Kemahiran. Antara program yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2010 adalah :

  1. Program Orientasi Semula Tingkatan 5
  2. Training Of Trainers
  3. Minggu Jalinan Mesra
  4. Protege Elit
  5. Bengkel Kemasukan Ke IPTA
  6. Kursus Pengurusan Kelab & Persatuan
  7. Kempen Perangi Dadah
  8. Motivasi Pecutan Awal
  9. Kem Bina Insan
  10. INCINHA
  11. Minggu Kerjaya
  12. Semarak Integrasi
  13. Motivasi Pecutan Akhir
  14. Ke Mana Selepas SPM?
  15. Kem Kepimpinan Exco MPP
  16. Solat & Doa Hajat
  17. Inreach & Outreach
  18. Restu Ilmu
  19. Pengurusan Kemasukan Ke IPT

Sepi Tak Bererti Mati


Aloha! Apakhabar semua? Esok cuti sekolah akan melabuhkan tirainya. Bermakna rakan pendidik akan terus berjuang demi melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Bagi anak didik pula terutamanya yang akan menduduki SPM tahun ini, 3 bulan telahpun berlalu. Apakah yang telah anda lakukan demi mengejar sebuah kejayaan? Tanpa kita sedari, rupa-rupanya 23 Mac ini akan merakam satu lagi sejarah untuk sekolah amnya dan calon SPM 2010 khasnya. Apa tidaknya, segala penat lelah pasti akan terbayar apabila menatap slip keputusan peperiksaan SPM nanti. Apapun, di kesempatan ini saya ingin memohon ampun dan maaf kepada semua pengunjung blog Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah Vokasional Betong. Setahun rupanya tiada khabar berita. Menyepi tapi bukan bererti mati. Tapi entah kenapa kudrat itu terus terpahat tidak mampu mencoret cerita buat dikongsi bersama. Apapun, semoga dengan coretan ini mampu memberi energi untuk terus berkongsi...

Wednesday, March 24, 2010

Sylvester, Timothy & Ensangai Ungguli Kempen Perangi Dadah VOKBET 2010


Kempen Perangi Dadah VOBET 2010 melabuhkan tirainya dengan menobatkan Sylvester Ringkai (Juruteknik Elektrik Rendah), Timothy Aran (4 Katering) dan Ensangai Kasa (5 Pengaturcaraan Komputer) mengungguli kategori masing-masing. Berucap semasa Majlis Penangguhan, En. Ng Fook Yin selaku Pengetua Sek. Men. Vokasional Betong berharap agar Kempen Perangi Dadah ini sebagai proses pendidikan dan pencegahan berterusan dan bukannya sepanjang bulan Mac sahaja. Kempen anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling ini mendapat kerjasama daripada Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak, Unit HEM Pejabat Pelajaran Daerah Betong, Majlis Guru Kaunseling Bahagian Betong, Pusat Kesihatan, Unit HEM VOKBET manakala Agensi Anti Dadah Kebangsaan Cawangan Sarawak berbesar hati bertindak sebagai penaja utama. Pelbagai program telah diatur dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Antaranya adalah Slot 5 Minit Anti Dadah semasa Inspirasi Insani, Ops Rokok, Program Masih Ada Yang Sayang, Pertandingan Teka Silang Kata dan juga Pertandingan Deklamasi Sajak Anti Dadah. Berikut merupakan keputusan rasmi pertandingan.

Pertandingan Teka Silang Kata
  1. Ensangai Anak Kasa - 5 Pengaturcaan Komputer
  2. Frankey Lambor - 5 Pengaturcaan Komputer
  3. Nur Razinah bt Jana - 5 Katering
  4. Steven Kalong Mijin - 4 Elektrik dan Elektronik
  5. Albert Anak Igoh - 4 Elektrik dan Elektronik
Pertandingan Melukis Poster
  1. Timothy Anak Aran - 4 Katering
  2. Byron Lim Peng Hong - Pelukis Pelan Senibina
  3. Bianie Manyie - 4 Katering
  4. Maklos Brown Asen Anak Nyambar - 4 Elektrik dan Elektronik
  5. Leonardo Tuah Ak Lanchang - 4 Elektrik dan Elektronik
Pertandingan Deklamasi Sajak Anti Dadah
  1. Sylvester Ringkai Anak Akat - Juruteknik Elektrik Rendah
  2. Juwina Patricia Anak Joel - 5 Binaan Bangunan
  3. Muhamat Shariz bin Masri - 4 Elektrik dan Elektronik
  4. Layam Anak Achong - 4 Binaan Bangunan
  5. Dayang Mas Fatinah - 5 Binaan Bangunan
Syabas dan Tahniah dari Unit Bimb. & Kaunseling.

Monday, March 22, 2010

Meniti Usia


Tahun 2009 melakar sejarah dalam citra Sek. Men. Teknik Betong sebelum melalui transformasi dan penjenamaan semula apabila menganjurkan Sambutan Jubli Perak. Majlis ini dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak dan mendapat liputan sama ada di media cetak mahupun di media elektronik. Di kesempatan yang sama juga, tercetus ilham untuk menghadiahkan sesuatu buat TEKBET yang telah memuntahkan labanya dalam memanusiakan manusia. Sama-sama kita hayati...

Dirinya...
Mungkin dimamah usia
Mungkin jua sering dicerca
Apa kurangnya dihina
Tatkala merangkak
Dalam senjakala
Tika meniti usia tuanya

Tak pernah kenal usia
Apa lagi cerca dan hina
Tak pernah kenal jua erti jemu
Dalam memuntahkan laba ilmu
Untuk memanusiakan manusia
Yang dulunya jahil dan alpa

TEKBET
25 tahun telah berlalu
Lipatan masa meniti senja
Namun...
Kau tetap gagah berdiri
Perkasa menabur jasa
Bangga melakar citra
Dalam membentuk bunga-bunga bangsa

Begitu besar nilaimu
Niat murnimu pasti menyentuh kalbu
Tapi siapalah aku
Hanya menumpang di perut bumimu
Mungkin sedetik cuma
Tapi aku bisa mendabik dada
Mencanang rasa bangga
Melakar citra
Melahir insani pertiwi
Menyuntik ilmu duniawi dan ukhrawi
Namun satu yang pasti...
Kau kan senantiasa segar
Dalam sudut hati dan memori
Insan kerdil ini

Cetusan Rasa : Chrysostom Sangin
10 September 2009 : 2200 hrs