Anda Pengunjung Ke

Wednesday, March 24, 2010

Sylvester, Timothy & Ensangai Ungguli Kempen Perangi Dadah VOKBET 2010


Kempen Perangi Dadah VOBET 2010 melabuhkan tirainya dengan menobatkan Sylvester Ringkai (Juruteknik Elektrik Rendah), Timothy Aran (4 Katering) dan Ensangai Kasa (5 Pengaturcaraan Komputer) mengungguli kategori masing-masing. Berucap semasa Majlis Penangguhan, En. Ng Fook Yin selaku Pengetua Sek. Men. Vokasional Betong berharap agar Kempen Perangi Dadah ini sebagai proses pendidikan dan pencegahan berterusan dan bukannya sepanjang bulan Mac sahaja. Kempen anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling ini mendapat kerjasama daripada Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak, Unit HEM Pejabat Pelajaran Daerah Betong, Majlis Guru Kaunseling Bahagian Betong, Pusat Kesihatan, Unit HEM VOKBET manakala Agensi Anti Dadah Kebangsaan Cawangan Sarawak berbesar hati bertindak sebagai penaja utama. Pelbagai program telah diatur dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Antaranya adalah Slot 5 Minit Anti Dadah semasa Inspirasi Insani, Ops Rokok, Program Masih Ada Yang Sayang, Pertandingan Teka Silang Kata dan juga Pertandingan Deklamasi Sajak Anti Dadah. Berikut merupakan keputusan rasmi pertandingan.

Pertandingan Teka Silang Kata
  1. Ensangai Anak Kasa - 5 Pengaturcaan Komputer
  2. Frankey Lambor - 5 Pengaturcaan Komputer
  3. Nur Razinah bt Jana - 5 Katering
  4. Steven Kalong Mijin - 4 Elektrik dan Elektronik
  5. Albert Anak Igoh - 4 Elektrik dan Elektronik
Pertandingan Melukis Poster
  1. Timothy Anak Aran - 4 Katering
  2. Byron Lim Peng Hong - Pelukis Pelan Senibina
  3. Bianie Manyie - 4 Katering
  4. Maklos Brown Asen Anak Nyambar - 4 Elektrik dan Elektronik
  5. Leonardo Tuah Ak Lanchang - 4 Elektrik dan Elektronik
Pertandingan Deklamasi Sajak Anti Dadah
  1. Sylvester Ringkai Anak Akat - Juruteknik Elektrik Rendah
  2. Juwina Patricia Anak Joel - 5 Binaan Bangunan
  3. Muhamat Shariz bin Masri - 4 Elektrik dan Elektronik
  4. Layam Anak Achong - 4 Binaan Bangunan
  5. Dayang Mas Fatinah - 5 Binaan Bangunan
Syabas dan Tahniah dari Unit Bimb. & Kaunseling.

Monday, March 22, 2010

Meniti Usia


Tahun 2009 melakar sejarah dalam citra Sek. Men. Teknik Betong sebelum melalui transformasi dan penjenamaan semula apabila menganjurkan Sambutan Jubli Perak. Majlis ini dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak dan mendapat liputan sama ada di media cetak mahupun di media elektronik. Di kesempatan yang sama juga, tercetus ilham untuk menghadiahkan sesuatu buat TEKBET yang telah memuntahkan labanya dalam memanusiakan manusia. Sama-sama kita hayati...

Dirinya...
Mungkin dimamah usia
Mungkin jua sering dicerca
Apa kurangnya dihina
Tatkala merangkak
Dalam senjakala
Tika meniti usia tuanya

Tak pernah kenal usia
Apa lagi cerca dan hina
Tak pernah kenal jua erti jemu
Dalam memuntahkan laba ilmu
Untuk memanusiakan manusia
Yang dulunya jahil dan alpa

TEKBET
25 tahun telah berlalu
Lipatan masa meniti senja
Namun...
Kau tetap gagah berdiri
Perkasa menabur jasa
Bangga melakar citra
Dalam membentuk bunga-bunga bangsa

Begitu besar nilaimu
Niat murnimu pasti menyentuh kalbu
Tapi siapalah aku
Hanya menumpang di perut bumimu
Mungkin sedetik cuma
Tapi aku bisa mendabik dada
Mencanang rasa bangga
Melakar citra
Melahir insani pertiwi
Menyuntik ilmu duniawi dan ukhrawi
Namun satu yang pasti...
Kau kan senantiasa segar
Dalam sudut hati dan memori
Insan kerdil ini

Cetusan Rasa : Chrysostom Sangin
10 September 2009 : 2200 hrs

Friday, March 19, 2010

Peluang Keemasan!

Kepada semua warga VOKBETIAN 2009, di sini saya uploadkan Iklan Kemasukan ke Program Latihan Separa Perubatan Sesi Kemasukan Julai 2010. Justeru, saya harap semua yang berminat untuk menceburi kerjaya dalam Bidang Perubatan boleh mengambil peluang keemasan ini. Segala permohonan boleh dibuat melalui laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Awam di www.spa.gov.my atau klik sahaja pada imej SPA di bahagian kanan blog ini. Semoga berjaya anak-anakku. Berikut merupakan program yang ditawarkan :

  1. Juru X-Ray Pelatih
  2. Jururawat Pelatih
  3. Jurupulih Perubatan (Cara Kerja) Pelatih
  4. Jurupulih Perubatan (Anggota) Pelatih
  5. Penolong Pegawai Farmasi Pelatih
  6. Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pelatih
  7. Penolong Pegawai Perubatan Pelatih
  8. Juruteknologi Makmal Perubatan Pelatih
  9. Juruteknologi Pergigian Pelatih
  10. Jururawat Pergigian Pelatih (Perempuan Sahaja)

Thursday, March 18, 2010

Penyakit Lupa

Lupa? Salah satu 'penyakit' yang seringkali membelenggu kita sama ada sebagai seorang guru ataupun pelajar. Justeru, di sini saya ingin berkongsi sedikit info tentang sebab-sebab penyakit lupa dan juga antara langkah-langkah mengatasinya. Bagi Kaunselor atau Guru-Guru yang di luar sana, mungkin boleh kongsikan info ini dengan anak murid anda untuk kebaikan bersama. Untuk renungan dan tak salah kalau kita mencuba rasanya.

Antara Penyebab Penyakit Lupa :

  1. Makan kepala ikan.
  2. Organ dalaman binatang seperti hati, limpa, jantung, perut dan yang seumpamanya melainkan atas nasihat doktor untuk keperluan kesihatan.
  3. Makan makanan yang tercemar oleh semut kerana semut dipercayai mengandungi sejenis bahan kimia yang menyebabkan daya ingatan menjadi lemah.
  4. Jangan makan berlebihan [ makan semasa lapar, berhenti sebelum kenyang ].
  5. Jangan minum air antara suapan makan. Maksudnya, jangan minum sebelum anda selesai makan.
  6. Selain daripada itu, elakkan sukan yang boleh menyebabkan gegaran yang kuat kepada kepala seperti tinju, gusti dan sebagainya.
  7. Pergaduhan / berkelahi sesama sendiri dengan memukul kepala juga boleh menyebabkan penyakit lupa. Gegaran di kepala yang kuat dan terlalu kerap akan mengakibatkan kadar sejenis bahan kimia yang dipanggil ‘dopamin’ akan berkurangan di dalam sel-sel otak. Lalu mengkibatkan daya ingatan yang lemah dan otot-otot kurang bermaya.

Rahsia Menguatkan Daya Ingatan

Untuk menguatkan daya ingatan, dengan rahmat dan sayang TUHAN, kita dikurniakan makanan yang baik yang dapat menguatkan sistem saraf kita. Di antara jenis makanan yang boleh meningkatkan fungsi ingatan ialah :

  1. Buah Anggur Hitam.
  2. Madu Lebah.
  3. Halia.
  4. Buah Badam.
  5. Susu.
  6. Air Zam Zam
  7. Kismis.
  8. Jus Karot dan Madu.
  9. Epal.
  10. Kurma.
  11. Ikan Tuna.
  12. Tempe.
  13. Air Soya.

Itu hanyalah sebahagian daripada makanan yang boleh meningkatkan daya ingatan manusia. Selain itu, oksigen juga amat penting untuk merangsang otak supaya sentiasa cergas dan cerdas. Satu teknik mengawal pernafasan yang amat baik diamalkan adalah dengan menarik nafas sebanyak 7 kiraan, kemudian tahan nafas sebanyak 14 kiraan. Ulang selalu terutama sewaktu kita sedang keletihan. Selamat Mencuba!

Sumber : Minda Bestari

Lautan Modal Insan Gemilang - Minggu Jalinan Mesra


Minggu Jalinan Mesra telah berlangsung pada 31 Januari hingga 4 Februari yang lalu. Cuma saya belum ada masa untuk uploadkan gambar dan sedikit bingkisan. VOKBET diserbu lagi oleh lautan manusia dari segenap pelosok Sarawak. Dari SMK Kapit, SMK Belaga, SMK Lubok Antu, SMK Balai Ringin dan begitu banyak sekolah yang tidak mungkin dapat saya senaraikan satu persatu di sini. Yang menariknya, begitu banyak juga permohonan yang kami terima selepas tarikh tutup permohonan di samping semasa Kaunter Walk-In dibuka. Lenguh jugalah dibuatnya. Tidak cukup rehat tapi itu bukan persoalan. Apa yang membuat saya teruja adalah Pendidikan Vokasional dan Kemahiran masih relevan dan mendapat tempat di hati bukan sahaja dalam kalangan pelajar malah ibu bapa. Teruja lagi dibuat apabila ada ibu dan bapa yang telah menghantar 3 orang anaknya ke sini. Fakta mengejutkan juga kerana ada ibu bapa yang telah mendapat pendidikan di sini dan akhirnya membuat keputusan untuk memberi pendidikan yang sama kepada anak mereka di sini. Syabas VOKBET! Kita bukan lagi Institusi Pendidikan kelas kedua seperti yang diwar-warkan. Berada di sekolah baru, semuanya serba-serbi baru. Dari imej serta ketrampilan, disiplin, kawan baru, tilam baru, katil baru, kelas baru, cikgu baru, kaunselor pun baru. Hehe... :-). Justeru, UBK telah dipertanggungjawabkan untuk merencana dan melaksana aktiviti sepanjang Minggu Jalinan Mesra. Syabas dan Tahniah kepada semua pihak khususnya JK Outreach & Inreach serta JK Pendaftaran. Antaranya intipati Minggu Jalinan Mesra 2010 adalah:

  1. Ice Breaking.
  2. VOKBET VOGUE - Kenali VOKBET.
  3. Tayangan Perdana Filem Avatar.
  4. Kuliah Subuh dan Kuliah Moral.
  5. Sejenak Bersama Bidang Sains dan Matematik.
  6. Sejenak Bersama Bidang Kemanusiaan.
  7. Sejenak Bersama Bidang Bahasa.
  8. Sejenak Bersama Bidang Vokasional dan Kemahiran.
  9. Guruku Sayang.
  10. Sinaran Bintang.
  11. Remaja Bunga Bangsaku.
  12. Sejenak Bersama Ayahanda Tn. Pengetua.
  13. Sejenak Bersama Pen.-Pen. Kanan.
  14. Taklimat Disiplin.
  15. Sukanekawara.
  16. Malam Kemuncak Jalinan Mesra.

Sunday, March 14, 2010

Biasiswa Yayasan TM 2010

Yayasan TM mempelawa pelajar-pelajar warganegara Malaysia yang layak dengan mendapat kelulusan akademik yang cemerlang, yang mempunyai personaliti yang baik dan aktif dalam kegiatan ko-kurikulum untuk memohon Biasiswa Yayasan TM bagi mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Dalam dan Luar Negara. Untuk maklumat lanjut, sila klik pada Yayasan Telekom Malaysia pada ruangan Bantuan Kewangan. Biasiswa yang ditawarkan adalah dalam bidang / kursus Kejuruteraan, Pengurusan dan Teknologi Maklumat di peringkat pengajian seperti berikut :

  1. Biasiswa Persediaan Ke Luar Negara.
  2. Biasiswa Pra Universiti / Program Alpha di Universiti Multimedia (MMU).
  3. Biasiswa Diploma di Universiti Multimedia.
  4. Biasiswa Ijazah Pertama di Universiti Multimedia dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Tarikh Tutup : 23 March 2010

Ciri-Ciri Pelajar Cemerlang - 2


Gambar peta minda di atas merangkumkan begitu banyak Kemahiran Belajar dalam usaha untuk menjadi seorang pelajar cemerlang. Jadi, Kaunselor dan Guru-Guru di luar sana boleh memuat turun gambar tersebut untuk dijadikan bahan outreach sama ada di Bilik Kaunseling, papan notis luar ataupun di dalam kelas. Di sini saya uploadkan edisi sambungan Ciri-Ciri Pelajar Cemerlang - 2.

  1. Sering berbincang dengan rakan-rakan tentang pelajaran yang telah dipelajari.
  2. Menyiapkan tugasan yang telah diberikan oleh guru sama ada kerja dalam kelas atau kerja rumah dalam tempoh yang ditetapkan.
  3. Mengadakan kumpulan perbincangan (study group) bersama rakan-rakan yang mempunyai visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam peperiksaan.
  4. Menjadikan perpustakaan sekolah dan sunber-sumber yang lain sebagai gedung ilmu pengetahuan untuk dikunjungi dan mendapatkan buku-buku untuk dipinjam.
  5. Membaca akhbar-akhbar dan majalah akademik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.
  6. Menonton rancangan televisyen yang sesuai untuk mendapatkan pengetahuan.
  7. Mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri) seperti yang dibuat dalam peperiksaan sebenar untuk dijadikan sebagai pengukuhan pembelajaran.
  8. Menyediakan jadual waktu belajar.
  9. Mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk melahirkan semangat dan keyakinan diri.
  10. Mengikuti seminar-seminar peperiksaan bagi memahami teknik-teknik menjawab soalan.
Sumber : Minda Bestari.

Biasiswa Shell Malaysia


Shell Malaysia Ltd kini sedang mencari pelajar-pelajar berbakat dan bermotivasi tinggi untuk program 'Anugerah Biasiswa Shell'. Program ini bertujuan untuk membina bakat tempatan menerusi pendidikan. Anugerah tersebut memberi peluang kepada para pelajar untuk mencapai matlamat dan cita-cita mereka. Untuk memperolehi anugerah biasiswa ini, para pelajar mestilah serba boleh, mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang serta memiliki ciri-ciri kepimpinan melalui penyertaan aktif di dalam kegiatan ko-kurikulum. Jika anda berminat untuk menyahut cabaran, hubungilah Shell. Biasiswa ini dianugerahkan kepada pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian Ijazah Sepenuh Masa (kursus Ijazah Pertama) di universiti-universiti yang diiktiraf di Malaysia dan di luar negara, dan pengajian Pra-Universiti di Malaysia. Di samping itu, biasiswa turut diberikan kepada pelajar yang mengikuti pengajian Sarjana Geosains. Shell Malaysia menawarkan biasiswa kepada pelajar yang akan mengikuti kursus Ijazah Pertama sepenuh masa berikut di Malaysia dan di universiti-universiti antarabangsa yang diiktiraf oleh JPA.

Kursus-Kursus Pilihan
  • Sains (Geosains seperti Geologi dan sebagainya, Kimia dan Fizik.
  • Kejuruteraan (Petroleum, Kimia, Elektrikal dan Mekanikal).
  • Pentadbiran Perniagaan / Ekonomi / Kewangan & Perbankan.
  • Teknologi Maklumat.
Kelayakan
Untuk layak memperolehi anugerah biasiswa ini, para pelajar mestilah menepati kriteria berikut:
  • Kelulusan SPM, 'O' Level, Diploma, Matrikulasi, STPM, 'A' Level atau pelajar Ijazah Tahun 1.
  • Rekod pencapaian akademik yang cemerlang, jangkaan CGPA yang tinggi atau setaraf dengannya.
  • Boleh menulis dan bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik.
  • Mempunyai kualiti dan potensi kepimpinan melalui penyertaan aktif dalam kegiatan ko-kurikulum seperti persatuan dan kelab, sukan dan lain-lain.
  • Calon mestilah memiliki Ijazah Kepujian yang baik atau setaraf dengannya dalam bidang berkaitan dari universiti yang diiktiraf (bagi permohonan Biasiswa Sarjana Geosains sahaja).
Permohonan boleh dikemukakan berasaskan kepada keputusan semester terkini (untuk pelajar Matrikulasi) atau keputusan peperiksaan percubaan (bagi pelajar SPM, STPM). Shell Malaysia berhak untuk mengesahkan perkara-perkara di atas. Shell Malaysia ingin memaparkan kepelbagaian masyarakat di mana ia beroperasi dan akan menganugerahkan biasiswa berdasarkan kriteria berkenaan. Untuk maklumat lanjut, bolehlah klik pautan Shell Malaysia di bahagian KEWANGAN di blog ini. Tarikh Tutup : 30 March 2010.

Saturday, March 13, 2010

Kempen Perangi Dadah 2010


Program UBK pada bulan Mac dimulakan dengan penganjuran Kempen Perangi Dadah. Mendapat kerjasama daripada Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak, Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Sarawak, Pejabat Pelajaran Daerah Betong dan Majlis Guru Kaunseling Bahagian Betong, program ini telah dilancarkan dengan rasminya oleh Tn. Pengetua Sek. Men. Vokasional Betong iaitu En. Ng Fook Yin. Mengangkat tema VOKBET BENCI DADAH, program ini antara lain bertujuan untuk mempertingkatkan lagi kesedaran dan pengetahuan pelajar tentang bahaya rokok dan dadah. Pada masa yang sama berusaha untuk menggalakkan penglibatan semua warga sekolah dalam aktiviti pencegahan dadah di samping mencungkil bakat para pelajar dan menanamkan semangat bencikan dadah melalui aktiviti berunsurkan kesenian. Antara aktiviti yang telah direncana dan dilaksana sempena KPD VOKBET 2010 adalah :

  1. Slot 5 Minit Anti Dadah Oleh PRS semasa Sesi Inspirasi Insani.
  2. Ops Rokok.
  3. Pertandingan Teka Silang Kata.
  4. Pertandingan Sayembara / Deklamasi Sajak Anti Dadah.
  5. Pertandingan Melukis Poster.
  6. Ujian Air Kencing.
  7. Program Masih Ada Yang Sayang (Ceramah dari Pusat Kesihatan, AADK & Guru Kaunseling).

Thursday, March 11, 2010

Apabila Kacang Lupakan Kulit?


Saya pasti sebilangan besar daripada warga pendidik VOKBET sudah boleh tersenyum lebar apabila melihat keputusan SPM 2009. Syabas. Inilah hasil penat lelah, jerih perih membanting tulang, keringat dan mencanai minda dalam usaha menjana modal insan terbilang. Tetapi saya ingin membawa satu senario yang mungkin kelihatan biasa tetapi itulah rencahnya, asam garam dalam dunia pendidikan. Apabila keputusan SPM bagi calon A baik, dia tersenyum lebar lantas berkata 'pandainya aku' atau bagi ibu bapa pula 'eh, pandainya anak aku'. Jarang sekali mereka berkata, 'kalau bukan kerana cikgu C yang pandai mengajar, mesti anak aku tak mampu untuk mendapat A+'. Renungkanlah wahai pembaca sekalian. Sang pelajar pula tatkala menimba ilmu sering berhadapan dengan permasalahan waima sekecil-kecil masalah sekalipun. Maka, pendidik yang penuh dengan keikhlasan ini sedaya upaya untuk membantu hatta mencari kalkulator untuk anak didiknya menduduki kertas Matematik kerana bimbang bahawa anak didiknya gagal dalam kertas tersebut. Malah, anak didik bersemangat bila soalan ramalan cikgunya keluar dalam SPM. Ibarat 'kena loteri' katanya. Itulah senarionya. Betapa seorang guru itu menjadi 'lilin membakar diri' dalam usaha memberi nur kepada anak didiknya. Tetapi saudara, sejauh manakah mereka ini mengingati sekelumit pengorbanan guru-guru mereka. Berapa orangkah yang melafazkan bait-bait bicara 'TERIMA KASIH CIKGU' yang tidak perlu dibeli langsung saat menatap deretan A pada Slip Keputusan SPM mereka? Mungkin benar kata pepatah, "Bagaikan Kacang Lupakan Kulit" atau "Habis Madu Sepah Dibuang". Saya pasti tidak pernah terdetik di hati sanubari seorang guru untuk menagih simpati, mengharapkan secebis balasan. Cukuplah dengan mengukir senyuman dan ucapan Terima Kasih Cikgu bersulam keikhlasan dan keredhaan. Tuhan memberkatimu wahai guru. Akhir bicara, bila berada di langit sana saat menggapai bintang kejora, rumput di bumi jangan dilupa. :-(

Tahniah VOKBETIAN 2009!


Hari ini merupakan hari yang sangat mendebarkan dalam setiap calon SPM 2009. Malah saya pasti ada yang tidak boleh tidur dengan lena memikirkan apakah huruf-huruf yang bakal tertera pada slip SPM 2009 anda. Apapun, saya ucapkan tahniah kepada anda atas keputusan yang saya rasa sangat membanggakan. Inilah hasil tuaian selepas anda menanam benih-benih yang berkualiti. Saya tumpang gembira dan bangga bagi pihak guru-guru dan ibu bapa anda. Kerna yang pasti sumbangan saya sekelumit cuma malah mungkin tiada dalam mencorakkan angka pada slip SPM 2009 anda. Hmm. Itulah kenyataan yang perlu diterima. Namun, ini bukan persoalan utama. Anda tidak perlu menoleh lagi ke belakang kerana yang pasti anda kena menerima hakikat perjuangan perlu diteruskan demi mencipta kegemilangan.

Justeru, di blog ini saya hubungkan anda dengan institusi-institusi yang berkaitan. Hanya perlu klik pada pautan seperti Politeknik dsb dan anda akan log terus ke laman web tersebut. Bagi yang berminat untuk mengikuti pengajian di Kolej Komuniti, bolehlah mendaftarkan nama secara terus di Unit Bimbingan dan Kaunseling dengan meninggalkan bersama saya salinan slip keputusan SPM dan Kad Pengenalan. SEGERA kerana saya cuma ada di sekolah sehingga petang hari Khamis sahaja. Walaubagaimanapun, anda boleh meninggalkan soalan dan pertanyaan sekiranya terdapat kemusykilan di ruangan chat di blog ini. Berikut merupakan kursus-kursus yang ada di Kolej Komuniti Cawangan Sarawak untuk rujukan anda :

  1. Sijil Teknologi Elektrik - Kolej Komuniti Santubong
  2. Sijil Teknologi Maklumat - Kolej Komuniti Mas Gading, Bau
  3. Sijil Landskap & Nurseri - Kolej Komuniti Mas Gading, Bau
  4. Sijil Pelukis Pelan Senibina - Kolej Komuniti Betong & Kuching
  5. Sijil Fesyen Dan Pakaian - Kolej Komuniti Kuching
  6. Sijil Pelancongan Dan Pengembaraan - Kolej Komuniti Kuching

Monday, March 1, 2010

Personaliti Bulan Kelahiran - March


Senja Februari berlalu, mentari March bertamu. Seperti kebiasaannya, saya uploadkan Personaliti Bulan Kelahiran di blog peribadi saya di www.chryscalvin.blogspot.com. Dengan kesempatan ini, saya pindahkan input tersebut di blog ini dan bukan lagi di blog peribadi saya untuk renungan dan perkongsian bersama.

  • Berpersonaliti menarik dan menawan.
  • Mudah didampingi.
  • Sangat pemalu dan pemendam rasa.
  • Sangat baik secara semulajadi, jujur, pemurah dan mudah simpati.
  • Sangat sensitif kepada perkataan yang dituturkan dan alam persekitaran.
  • Suka kepada kedamaian.
  • Sangat peka kepada orang lain.
  • Sesuai dengan kerjaya yang memberi khidmat kepada orang lain.
  • Tidak cepat marah dan sangat amanah.
  • Tahu membalas budi dan mengenang budi.
  • Pemerhatian dan penilaian yang tajam.
  • Kecenderungan untuk berdendam jika tidak terkawal.
  • Suka berangan-angan atau melancong.
  • Sangat manja dan suka dengan hiasan rumah tangga.
  • Mempunyai bakat dalam bidang muzik.
  • Terlalu moody.
Sumber : Kajian Datuk Dr. Haji Fadzilah Kamsah